RNyjRqP8aj-C8C6cl6i1WeeyfkA

Saturday, May 5, 2012

SUNAN GRESIK @ WALI SONGO (9 WALI)


Sunan Gresik atau Maulana Malik Ibrahim (w. 1419 M/882 H) adalah nama salah seorang Wali Songo, yang dianggap yang pertama kali menyebarkan agama Islam di tanah Jawa. Beliau dimakamkan di desa Gapurosukolilo, kota Gresik, Jawa Timur.




Asal Keturunan

Tidak terdapat bukti sejarah yang sahih mengenai asal keturunan Maulana Malik Ibrahim, meskipun pada umumnya dipersetujuai bahawa beliau bukanlah orang Jawa asli. Panggilan nama Syeikh Maghribi yang diberikan masyarakat kepadanya, kemungkinan menyatakan anggapan asal keturunannya dari wilayah Arab Maghrib di Afrika Utara.

Sejarah Tanah Jawi versi J.J. Meinsma menggelarnya dengan nama Makhdum Ibrahim as-Samarqandy, yang diungkapkan dalam sebutan Jawa menjadi Syeikh Ibrahim Asmarakandi. Ia menyatakan bahawa Maulana Malik Ibrahim lahir di Samarkand, Asia Tengah, pada paruh awal abad 14.

Dalam keterangannya pada buku The History of Java mengenai asal permulaan dan perkembangan kota Gresik, Raffles menyatakan bahawa mengikut keterangan para penulis tempatan, "Maulana Ibrahim, seorang Pendita terkenal berasal dari Arab, dari keturunan Jenal Abidin, dan sepupu raja Chermen (sebuah negara Sabrang), telah menetap bersama para Mahomedans lainnya di Desa Leran di Jang'gala".

Maulana Malik Ibrahim (Lakaran)

Namun yang demikian, kemungkinan pandangan yang kukuh adalah berdasarkan pembacaan J.P. Moquette atas baris kelima tulisan pada inskripsi makamnya di desa Gapura Wetan, Gresik; yang menunjukkan bahawa beliau berasal dari Kashan, suatu tempat di Iran sekarang.

Terdapat beberapa versi mengenai salasilah Maulana Malik Ibrahim. Beliau pada umumnya dianggap merupakan keturunan Rasulullah S.A.W, melalui jalur keturunan Husain bin Ali, Ali Zainal Abidin, Muhammad al-Baqir, Ja'far ash-Shadiq, Ali al-Uraidhi, Muhammad al-Naqib, Isa ar-Rumi, Ahmad al-Muhajir, Ubaidullah, Alwi Awwal, Muhammad Sahibus Saumiah, Alwi ats-Tsani, Ali Khali' Qasam, Muhammad Shahib Mirbath, Alwi Ammi al-Faqih, Abdul Malik (Ahmad Khan), Abdullah (al-Azhamat) Khan, Ahmad Syah Jalal, Jamaluddin Akbar al-Husain (Maulana Akbar), dan Maulana Malik Ibrahim, yang bermakna beliau adalah keturunan orang Hadrami yang berhijrah.

Penyebaran Agama


Maulana Malik Ibrahim dianggap tergolong dalam salah seorang yang pertama kali menyebarkan agama Islam di tanah Jawa, dan merupakan wali senior di antara para Wali Songo lainnya. Beberapa versi sejarah menyatakan bahawa kedatangannya disertai beberapa orang. Daerah yang di tujunya pertama kali ialah desa Sembalo, sekarang adalah daerah Leran, Kecamatan Manyar, iaitu 9 kilometer ke arah utara kota Gresik. Beliau mula menyebarkan agama Islam di tanah Jawa bahagian timur, dengan mendirikan masjid pertama di desa Pasucinan, Manyar.


Perkara pertama yang dilakukannya ialah dengan mendekati masyarakat melalui pergaulan. Budi bahasa yang sopan senantiasa di perlihatkannya di dalam pergaulan seharian. Beliau tidak menentang secara terangan agama dan kepercayaan dari penduduk atau masyarakat asli, melainkan hanya memperlihatkan keindahan dan kabaikan yang dibawa oleh agama Islam. Berkat keramahannya dalam bergaul, ramai antara masyarakat yang senang hati dan tertarik untuk memeluk agama Islam.

Sebagaimana yang dilakukan para wali awal lainnya, aktiviti pertama yang dilakukan Maulana Malik Ibrahim ialah berdagang. Beliau berdagang di tempat pelabuhan terbuka, yang sekarang dinamakan desa Roomo, Manyar. Perdagangan membuatnya dapat berinteraksi dengan orang ramai, selain itu raja dan para bangsawan juga turut serta dalam kegiatan perdagangan tersebut sebagai pelaku jual-beli, pemilik kapal atau pemodal.


Setelah cukup sebati dengan masyarakat, Maulana Malik Ibrahim kemudian melakukan kunjungan ke ibukota Majapahit di Trowulan. Raja Majapahit meskipun tidak memeluk Islam tetapi menerimanya dengan baik, bahkan memberikannya sebidang tanah di pinggiran kota Gresik. Wilayah itulah yang sekarang dikenali dengan nama desa Gapura. Cerita rakyat tersebut dianggap mengandungi unsur-unsur kebenaran; menurut Groeneveldt pada saat Maulana Malik Ibrahim hidup, di ibukota Majapahit telah ramai orang asing termasuk dari Asia Barat.

Demikianlah, dalam rangka menyediakan kader untuk melanjutkan perjuangan menegakkan ajaran-ajaran Islam, Maulana Malik Ibrahim membuka pesantren-pesantren @ sekolah agama yang merupakan tempat mendidik pemimpin agama Islam akan datang. Hingga saat ini makamnya masih diziarahi orang-orang yang menghargai usahanya menyebarkan agama Islam berabad-abad yang silam. Setiap malam Jumaat Legi, masyarakat setempat ramai berkunjung untuk berziarah. Ritual ziarah tahunan atau haul juga diadakan setiap tanggal 12 Rabi'ul Awwal, mengikut tarikh kematian pada inskripsi kuburnya. Pada acara haul biasanya dilakukan majlis khatam Al-Quran, maulud (pembacaan riwayat Nabi Muhammad), dan dihidangkan makanan khas bubur harisah.


Legenda Rakyat


Menurut legenda rakyat, dikatakan bahawa Syeikh Maulana Malik Ibrahim atau Sunan Gresik berasal dari Persia. Syeikh Maulana Malik Ibrahim dan Syeikh Maulana Ishaq disebutkan sebagai anak dari Syeikh Maulana Ahmad Jumadil Kubro, atau Syeikh Jumadil Qubro. Syeikh Maulana Ishaq dikatakan menjadi ulama terkenal di Samudera Pasai, sekaligus ayah dari Raden Paku atau Sunan Giri. Syeikh Jumadil Qubro dan kedua-dua anaknya bersama-sama datang ke pulau Jawa. Setelah itu mereka berpisah; Syeikh Jumadil Qubro tetap di pulau Jawa, Syeikh Maulana Malik Ibrahim ke Champa, Vietnam Selatan; dan adiknya Syeikh Maulana Ishak mengislamkan Samudera Pasai.

Syeikh Maulana Malik Ibrahim disebutkan bermukim di Champa (dalam legenda disebut sebagai negeri Chermain atau Cermin) selama tiga belas tahun. Beliau menikahi puteri raja yang memberinya dua putera; iaitu Raden Rahmat atau Sunan Ampel dan Sayid Ali Murtadha atau Raden Santri. Setelah cukup menjalankan misi dakwah di negeri itu, iabeliau berhijrah ke pulau Jawa dan meninggalkan keluarganya. Setelah dewasa, kedua-dua anaknya mengikuti jejak langkahnya menyebarkan agama Islam di pulau Jawa.

Syeikh Maulana Malik Ibrahim dalam cerita rakyat kadang-kadang juga disebut dengan nama Kakek Bantal. Beliau mengajarkan kaedah-kaedah baru untuk bercucuk tanam. Beliau merangkul masyarakat bawahan, dan berhasil dalam misinya mencari tempat di hati masyarakat sekeliling yang ketika itu sedang dilanda krisis ekonomi dan perang saudara.

Selain itu, beliau juga sering mengubati masyarakat sekeliling tanpa dikenakan sebarang bayaran. Sebagai tabib, diceritakan bahawa beliau pernah diundang untuk mengubati isteri raja yang berasal dari Champa. Besar kemungkinan permaisuri tersebut masih kerabat isterinya.


Meninggal Dunia


Makam Maulana Malik Ibrahim




Setelah selesai membangunkan dan menguruskan pesantren @ pondok belajar agama di Leran, Syeikh Maulana Malik Ibrahim menghembuskan nafasnya pada tahun 1419. Makamnya kini terdapat di desa Gapura, Gresik, Jawa Timur.









Inskripsi dalam bahasa Arab yang tertulis pada makamnya adalah sebagai berikut:


Ini adalah makam almarhum, seorang yang dapat diharapkan mendapat pengampunan Allah dan yang mengharapkan kepada rahmat Tuhannya Yang Maha Luhur, guru para pangeran dan sebagai tongkat sekalian para sultan dan wazir, siraman bagi kaum fakir dan miskin. Yang berbahagia dan syahid penguasa dan urusan agama: Malik Ibrahim yang terkenal dengan kebaikannya. Semoga Allah melimpahkan rahmat dan ridha-Nya dan semoga menempatkannya di surga. Beliau meninggal dunia pada hari Isnin 12 Rabi'ul Awal 822 Hijriah.








Sekarang ini, jalan yang menuju ke makam tersebut diberi nama Jalan Malik Ibrahim.

Olahan semula : Man

- Serambi Awam -

No comments:

Post a Comment