Monday, May 27, 2013

Balai Senilukis Kelantan Di Tengah Bandar


Takiyuddin menerima cenderamata yang disampaikan Yang Dipertua Peseni

KOTA BHARU : Ramai yang tak mengetahui sebuah premis heritage bersebelahan Pusat Penerangan Pelancongan Kelantan (TIC), jalan Sultan Yahya Putra, Kota Bharu akan digunakan untuk tujuan apa ketika pekerja binaan mengecat banguan tinggalan Inggeris itu dengan warna hijau ungu beberapa bulan lalu.
Bangunan Balai Senilukis Kelantan, Kota Bharu

Hanya setelah siap sepenuhnya dan papantanda dengan tulisan jawi dan rumi keemasan bertulis “Balai Senilukis Kelantan” dipasang, barulah mereka yang melewati jalan itu tahu bahawa bangunan bersejarah itu akan dijadikan balai senilukis, satu-satunya balai seumpama itu di Kelantan.

“Saya minta Persatuan Pelukis Kelantan (Peseni) peliharalah baik-baik bangunan itu. Kerana untuk mendapatkannya dahulu sukar sekali, ramai yang inginkan,” kata Datuk Takiyuddin Hassan dengan nada sayu ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Sesi 2013/2015, Peseni, di sebuah hotel di Kota Bharu (25 Mei 2013).

Sebelum ini bangunan itu digunakan oleh Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sebagai pejabat.

Balai Senilukis Kelantan itu diletakkan di bawah pentadbirann Muzium Negeri Kelantan dan diserahkan kepada Peseni untuk digunapakai.

Mempunyai dua tingkat, tingkat atas sebagai ruang pejabat dan kelas pembelajaran senilukis, sementara lantai bawah ruang memperagakan lukisan dan kaunter jualan.

Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin, ketika menjadi Exco Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Kelantan berusaha mewujudkan sebuah galeri lukisan di Negeri Serambi Mekah.

Usahanya membuahkan hasil, namun beliau bertukar jawatan (Ahli Parlimen) sebelum Balai Senilukis itu dibuka dan dirasmikan.

Minat dan komitmen Datuk Taki kepada bidang senilukis amat tinggi walaupun ia tak pandai melukis. Seperti diceritakan pada majlis pagi itu. “Di rumah saya banyak lukisan yang dihasilkan ahli Peseni seperti Ismail Kadir, Marzuki dan lain-lain.”

"Cuma untuk membeli lukisan tambahan karya pelukis terkenal saya justeru khautir tentang harganya, sedangkan saya malu untuk menawarnya,”ujar Taki.

“Pengganti saya sebagai Exco Kebudayaan ialah Datuk Mejar (B) Md. Anizam Abd Rahman. Beliau benar-benar orang seni, Insyaallah ia akan membantu mengembalikan kegemilangan senilukis di Kelantan,” tambah Taki.



- Serambi Awam -

No comments:

Post a Comment