9 November 2012
NADIRAH adalah sebuah teater tulisan Alfian Saat yang mempersalahkan orang Kuala Lumpur kerana mengakibatkan keruntuhan institusi rumah tangga yang seterusnya membawa kepada konflik keagamaan yang rumit dan mencelarukan. Lebih spesifik Alfian meletakkan pokok pangkal konflik ceritanya kepada lelaki Melayu Kuala Lumpur yang punya nafsu berbini ramai.
Dipentaskan di lantai sambil dikelilingi audien di bawah arahan Jo Kukathas, Nadirah membawa penonton ke Singapura dan kelangsungan hidup sebuah keluarga rumit disebabkan perkelahian agama dan kedudukan Tuhan dalam mekanisme perkahwinan antara agama. Tema yang sebegitu serius dipentaskan dengan gelak ketawa dan air mata dengan kadar yang amat bijaksana.
Alfian menulis Nadirah pada 2009 dengan berinspirasikan dua perkara, pertama filem arwah Yasmin Ahmad bertajuk Muallaf; kedua kes Natrah yang membakar hati umat Islam Singapura yang bergulat dengan sistem undang-undang kolonial yang tidak punya peduli terhadap undang-undang syariah.
Kedua sumber inspirasinya ini berkisar pada persoalan serupa; betapa agama itu perkara peribadi yang menyulitkan mereka yang membikinnya jenuh, serta bagaimana agama dan Tuhan meletakkan batas-batas terhadap kemanusiaan. Subjek ini dalam tulisan Alfian amat jelas dan tidak perlu dipersoal panjang.
Meskipun menggunakan nama Nadirah sebagai judul teaternya, Alfian sama sekali tidak berkisah banyak mengenai anak gadis itu, malah meletakkan beban naratifnya ke atas watak pasangan tua yang ketemu cinta pada dimensi agama yang berbeza.
Nadirah lahir muslim kepada pasangan rumit dalam keluarga bakal tidak stabil kerana punya bapa yang tamak mahu berbini ramai. Bapanya warganegara Malaysia yang jatuh cinta awalnya dengan seorang gadis tionghua bernama Stephanie yang berasal dari Singapura. Alfian tidak menyatakan sebab selain keinginan bapanya untuk berbini dua sebagai punca perceraian kedua suami isteri dengan Nadirah menjadi rebutan pada usia cuma lapan tahun.
Ini pastilah positif untuk sang ibu meski baru lapan tahun memeluk Islam kerana anaknya masih belum cecah usia sembilan. Dan sang ibu yang peluk Islam kerana cintakan lelaki Melayu terpaksa bertuhan meski tiada keyakinan demi memastikan tidak kehilangan anak yang dikandung belanya sekian lama.
Nadirah diberi pendidikan agama, meski sang ibu barangkali tidak tahu apa; hatta Nadirah jadi timbalan presiden persatuan keagamaan di kampus dan giat mengadakan dialog sesama agama serta menggiat usaha dakwah bagi mahasiswa Islam Singapura yang sedia minoriti supaya tidak meninggalkan agama mereka.
Di tengah kesibukan ini Nadirah melebihkan dunianya sendiri dan mengabaikan ibunya yang sendirian di rumah setiap kali pulang kerja. Dan akhirnya dalam usaha untuk menenangkan diri bertemu cinta pada diri seorang doktor di kejiranan tempat kerja. Lantas mahu berkahwin seperti kelaziman manusia bercinta, namun sang doktor pula penganut Kristian beriman tinggi dan tiada mahu meninggalkan agamanya. Justeru mencadangkan sebuah perkahwinan sivil yang pastinya menimbulkan marah Nadirah yang menolak segala yang bercanggah syarak.
Sampai ke babak ini penonton akan mula menyoal tujuan Alfian menulis cerita ini dengan sebegini rupa dan apa sebenarnya mesej yang mahu disampaikan selain mengajak manusia menuju Tuhan walaupun mengikut jalan berbeza. Kekhuatiran saya terhadap mesej sebegini ialah apabila ia ditonton dengan minda yang tertutup dan fikrah yang jumud.
Baru sahaja dua tiga hari lalu alat propaganda Barisan Nasional cuba bermain dengan isu kebebasan beragama dan meletakkan anak bakal Perdana Menteri Malaysia ke-7, Nurul Izzah Anwar di lapang sasar untuk dihentam seboleh mungkin. Walaupun sebenarnya apa yang dilakukan hanyalah memutarbelit laporannya, apa yang terjadi ialah salah faham sesetengah kelompok yang gagal berfikir dengan akal yang sihat.
Walhal pada hari persoalan kenyataan Izzah itu disiarkan muka depan lidah rasmi UMNO, muka surat limanya turut menyiarkan klarifikasi yang dikeluarkan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu. Apa yang terus dibuat Utusan Malaysia ialah menyiarkan kekeliruan orang lain yang terhasil akibat dari putar belitnya dan menjadikan isu agama ini sebagai alat menaikkan marah orang yang tidak mencari kebenaran.
Kemarahan dan kekeliruan tidak bertempat ini diperlihatkan dalam teater Nadirah melalui watak seorang ‘taliban’ Melayu Singapura yang tegas membela agama kaumnya. Watak Farouk, presiden kepada persatuan yang dianggotai Nadirah adalah watak yang mudah kita ketemu dalam lingkungan komuniti yang merasa kedudukannya mulia melebihi yang lain. Dan dengan kemuliaan itu, ia menghukum dan mengkafirkan tanpa melakukan keadilan.
Apa yang menarik ialah watak Farouk yang diperanankan oleh Redza Minhat ini, seusai pementasan sewaktu diskusi memberi pendapat bahawa lingkungan manusia hari ini terlalu banyak menghukum tanpa usul periksa. Baginya lagi, kerja mendidik dan memberi ajar kepada kelompok yang disangka jahil itu adalah pekerjaan yang merendahkan orang.
Sebagai manusia, dan pastinya sebagai budayawan, apa yang boleh dilakukan pastilah bukan mengajar tetapi sekadar bercerita dan membiarkan penonton berfikir dan membuat keputusan.
Namun cerita Nadirah ini tergantung dan plotnya menemukan tanda soal besar pada pertanyaan pokok yang menjadi hala tuju tulisan Alfian. Keadaan ini, ujar kawanan produksi adalah disengajakan supaya penonton sendiri dapat berfikir dan membuat kesimpulan sendiri.
Penonton pasti mahu tahu adakah ibu Nadirah, yang udah beberapa kali mengikut suami Kristiannya ke gereja akan turut meninggalkan Islam. Namun Alfian menutup tirai perdebatan itu dengan babak yang menimbulkan harapan di hati penonton. Ada pihak mungkin berharap ibunya Nadirah kekal muslim, ada pula pihak yang berharap ibunya berjaya diselamatkan Yesus Kristus. Harapan itu adalah hak inidividu kerana agama adalah hal yang amat peribadi.
Seperibadi genitalia. Ya, saya ada genitalia, kamu juga punya. Tetapi tidak perlulah organ itu diperagakan kepada umum supaya orang tahu siapa punya yang lebih besar. Sama halnya dengan agama. Memang tidak salah malah dianjurkan supaya umat Islam berdakwah ke arah menyemarakkan kebaikan dan menegah kemungkaran. Namun jalan dakwah tidak semata-mata wujud dengan metod menghukum dan mencerca atau mencanangkan siapa yang lebih Islam daripada yang lainnya.
Pada penghujung pementasan saya tetap marah dengan Alfian kerana meletakkan salah pada seorang lelaki Melayu dari Kuala Lumpur yang mahu beristeri lebih. Namun begitu saya bersetuju bahawa segala kekacauan yang berlaku dalam hidup Nadirah dan keluarganya bertitik tolak daripada kesilapan bapanya yang gagal menjadi suami yang baik kepada seorang muallaf.
Saya amat terpesona dengan persembahan Neo Swee Lin, bakat yang menggondol anugerah pelakon pembantu terbaik di Life Theatre Awards 2010. ‘Aunty’ yang seorang ini popular amat dengan penampilannya dalam siri komedi Phua Chu Kang; dan memegang peranan sebagai Sahirah ibunya Nadirah; beliau cemerlang sekali.
Bakat yang turut menyerlah juga pastilah kawannya Nadirah, watak bernama Maznah si perempuan berbaju seksi dan berasal dari Kuala Lumpur yang diperanankan Farah Rani dengan amat baik. Sebaik lakonan Patrick Teoh yang bersahaja dek kerana pengalamannya yang meluas.
Tetapi yang paling pasti ialah saya malah terpaksa menahan diri daripada mengambil kertas tisu dan mengesar air mata Nadirah yang menitis waktu ia berdiri di depan saya dalam babak bersama bondanya yang berkisah mengenai kesunyian di rumah. Walaupun Ani Juliana Ibrahim agak melebih-lebih dalam membawa watak Nadirah itu dengan sebutan tutur katanya yang kadang kala janggal, anak gadis ini telah berjaya berlaku adil kepada pementasan itu.
Keseluruhannya saya beri tiga bintang. Satu bintang untuk Neo Swee Lin yang comel sungguh lakonannya. Satu bintang untuk tulisan Alfian yang mantap. Dan satu bintang untuk air mata Nadirah, yang turut buat mata saya sedikit gatal dan berkaca.
Nadirah akan dipentaskan di Pentas 2 KLPAC sehingga
11 November 2012.
Reviu oleh : Izmil Amri
- Serambi Awam -