Thursday, June 28, 2012

Sukarkah Mendidik Anak Agar Mudah Untuk Meminta Maaf?



Suatu hari ketika sedang di pejabat , HP aku berbunyi. Ternyata panggilan dari isteri aku, mungkin untuk mengirim sesuatu ketika pulang nanti, fikir aku dalam hati. Ternyata dugaanku meleset. Sejurus selepas menekan butang 'jawab', terdengar suara tangis isteriku.

“Anak abang..,” terhenti disitu tanpa mampu menghabiskan. Meskipun hairan dan cemas, namun aku cuba untuk mengawal agar tenang . Namun aku menduga, pasti ada sesuatu yang terjadi keatas anak pertama aku  yang berumur 8 tahun. Mungkin jatuh atau….

“Basikal Atirah rosak gara-gara anak abang. Ibu dah pesan, jangan pinjam basikal orang. tapi…dia degil” kata isteri aku sambil tidak mampu mengawal emosinya.

Basikal yang dimaksudkan milik Atirah oleh isteri aku tadi, adalah sepupu anak aku. Basikal lipat baru yang dibeli dengan harga yang mahal itu baru berusia sehari. Sekarang basikal tersebut dah rosak gara-gara anak aku.


Di rumah, anak aku memang tidak punya basikal. Kerana basikalnya tertinggal di rumah neneknya [mertua aku]. Sampai sekarang ini masih belum sempat diambil. Cuma basikal anak aku tadi hanya sebuah basikal biasa, jauh sekali jika nak dibandingkan dengan basikal sepupunya tadi.

“Ya…sudah, tak usah dimarah berlebihan. Nanti abang balik, kita selesaikan. Atau bawak je dia ke rumah Atirah? Biar dia sendiri minta maaf dengan Atirah dan orang tuanya. Kalau ada yang rosak biar dia yang beritahu akan diganti,” kata aku. Rupa - rupanya isteri aku lebih tenang menunggu sehingga aku sampai dirumah. Sementara anak aku dah mula ketakutan kerana hal ini.

Sejurus sampai di rumah, aku berbicara dengan anak aku. Dia jelaskan kronologinya, apa yang telah berlaku. Meski dari penjelasannya menunjukkan dia bersalah, tapi dia mula mencari kebenaran atas kesalahannya (menegakkan benang yang basah). “Nanti malam ayah hantar ke rumah Atirah. Kamu harus minta maaf dengannya dan kedua orang tuanya,” kata aku.

“Afiq (nama panggilan anak aku) takut ayah…,”

“Kalau dah minta maaf Afiq takkan takut lagi. Jiwa kita takkan tenang selagi kita tak nyatakan maaf atas kesalahan yang dah kita dah buat” aku cuba beri kata yang tepat untuk hilangkan ketakutannya.

“Kalau abah Atirah marah?,” soalnya lagi.

“tak mengapa…terima aje. Afiq kan buat salah, jadi Afiq kena bertanggungjawab atas kesalahan tu. Nah… kalau ada yang rosak bererti Afiq harus ganti”

“Yelah ayah. Nanti duit boleh di ambik dari tabung cina boncit Afiq,” kata Afiq meskipun wajahnya tetap tak mampu untuk sembunyikan rasa takut.

Menjelang malam, selepas solat maghrib, kami pergi ke rumah Atirah. Reaksi Afiq makin resah ketakutan. Sampai aje dirumah Atirah, adik aku dan suaminya kebetulan ada. Hanya Atirah yang takde, karena masih mengaji...tak jauh dari rumah.

“Cepat Afiq…bagitau dengan abah Atirah…”

Afiq pun menjelaskan pada abak Atirah apa yang berlaku, kerana mama Atirah (adik aku) masih belum selesai solat maghrib. Di akhir penyampaiannya, anak aku cakap “Afiq minta maaf kerana Afiq dah rosakkan basikal Atirah”. Setelah mama Atirah selesai solat, kami menyuruh Afiq menceritakan semula kronologi apa yang berlaku dan minta maaf pada mama Atirah.

Yang kelakarnya, ternyata waktu basikal rosak, Atirah langsung tidak mengadu orang tuanya. Mereka baru tahu sewaktu anak aku menjelaskan. Mungkin Atirah juga takut, walaupun dia berada di pihak yang benar.

Pengajaran

Dari cerita diatas, saya ingin mengupas sedikit apa pengajaran dan hikmah yang terkandung didalamnya :.

  • Lazimnya orang dewasa, kanak-kanak –sejak dari usia dua tahun telah terbit sifat egonya. Walaupun berada di pihak salah, tetapi masih cuba untuk menegakkan benang yang basah.
  • Jika anak berbuat salah, apatah lagi sehingga berbuat kerosakan keatas barang milik rakannya, anak pasti dibelenggu ketakutan luar biasa. bukan sahaja pada orang tuanya sendiri, tetapi juga pada orang tua rakannya. kerana faktor takut inilah, anak biasanya sukar untuk meminta maaf.
  • Atas faktor takutlah ianya sukar untuk memohon maaf.. Maka dorongan dari ibu bapa sangat penting di sini. Didiklah berterusan walaupun mengambil masa yang agak lama untuk anak anda mengamalkannya.
  • Menghantar anak ke rumah rakan atau sesiapa sahaja yang dia lakukan kesalahan, ianya memberi pengalaman berharga terhadap anak itu. Pasti di bawah tekanan. Kerana alasan apapun untuk membenarkan kesalahannya akan runtuh oleh tekanan psikologinya dan lokasi (rumah orang yang dibuat salah) serta berdepan mata juga memainkan peranan penting



Kesimpulan

Amat sukar untuk melihat agar anak mudah untuk meminta maaf di atas setiap sesuatu kesalahan yang dilakukannya dan seterusnya menjadi amalan, selagi kita tidak mahu berusaha untuk mengajar dan mendidiknya dengan tekun. Bak kata pepatah, "Hendak seribu daya, taknak seribu dalih"....insyaAllah.


.

No comments:

Post a Comment