(dari www.one-ummah.net)
Saban tahun kita membayar zakat fitrah. Alhamdulillah, tidak ada yang terkecuali untuk membayarnya walaupun mereka dalam kalangan orang miskin. Pengalaman saya sebagai amil zakat beberapa tahun kebelakangan ini, tidak ada yang enggan membayar kecuali yang terlupa atas kesibukan bekerja, lalu mereka membayarnya juga selepas solat hari raya.
Tahukah anda mengapa umat Islam berlumba-lumba membayar zakat fitrah walaupun mereka miskin? Adakah kerana kadar zakat fitrah terlalu rendah dan mampu untuk membayarnya? Adakah kerana ketiadaan membayar zakat fitrah itu akan menyebabkan puasanya tergantung? Adakah kerana ramai orang membayarnya lalu mereka perlu ikut orang ramai? Atau adakah kerana promosi tentang kewajipannya sering dibuat?
Empat kemungkinan itu sedikit sebanyak mempengaruhi fikiran umat Islam untuk membayarnya. Tetapi faktor nilai atau kadar rendah bukanlah alasan yang kuat. Buktinya, kadar yang tinggi diperkenalkan pada tahun lalu masih tidak menjejaskan jumlah pembayarnya. Begitu juga faktor ikut orang ramai, kerana masing-masing sudah tahu kewajipannya. Malah lazimnya orang ramai ingat akan zakat fitrah kerana sudah sinonim dengan puasa Ramadan.
Namun saya percaya, ramai yang terpanggil untuk membayar zakat fitrah ini kerana pengaruh promosi yang berterusan di mana-mana media massa. Apatah lagi dalam promo yang disiarkan itu menjelaskan kewajipannya dan kesan bagi yang tidak menunaikannya. Semua itu telah menimbulkan kesedaran kepada orang ramai untuk segera menunaikannya.
Memang benar, peranan iklan dalam menyedarkan masyarakat amat tinggi. Sebab itu apa-apa yang hendak dilakukan dengan jayanya perlukan iklan yang kerap dan menarik. Malah dikatakan jika seseorang itu mendengar atau melihat sesuatu itu berulang kali sebanyak 40 kali, perkara itu akan terlekat pada hati seseorang itu. Syabas diucapkan kepada pusat zakat negeri-negeri kerana anda telah berjaya memainkan peranan itu dengan sebaiknya.
Kadar bayaran zakat fitrah
Menyentuh soal kadar zakat yang agak tinggi mulai tahun lalu, mungkin agak mengejutkan umat Islam. Tetapi tidak ada yang mahu membantahnya kerana menyedari bahawa zakat fitrah adalah ibadah yang wajib. Di negeri Selangor sebelum ini zakatnya bernilai RM5.70 tetapi terus melonjak ke RM7.00. Kadar ini meningkat mengikut kadar harga beras yang dimakan oleh rakyat Selangor waktu ini. Begitu juga yang berlaku pada negeri-negeri lain.
Persoalannya mengapa kadarnya mengikut nilai harga beras? Sebenarnya, zakat fitrah pada asal hukumnya ialah mengeluarkan segantang makanan asasi masyarakat setempat. Maknanya kalau di negara Arab yang makanan asasinya kurma, maka segantang kurma perlu dikeluarkan sebagai zakat fitrah. Bagi rakyat negara ini, makanan asasi kita ialah beras maka perlu dibayarkan segantang beras itu sebagai zakat fitrah.
Walau bagaimanapun jenis gantang yang diambil kira ialah gantang baghdadi yang bentuk dan saiznya kecil sedikit daripada gantang Malaysia. Kalau beras diisi dalam gantang Malaysia dan ditimbang, beratnya ialah 3.6 kg. Tetapi kalau beras yang sama diisi dalam gantang baghdadi beratnya hanyalah 2.7 kg, ertinya kecil sedikit.
Berdasarkan itu, rakyat Selangor yang makan beras dengan kadar harga di sini perlu didarabkan dengan 2.7kg dan kadar harganya itulah yang dibayarkan sebagai zakat fitrah. Majlis Agama Islam Selangor dengan mengambil kira jenis beras yang kebanyakan rakyat Selangor memakannya iaitu beras yang bernilai RM2.60 sekilo ditentukan kadar zakat fitrah pada tahun ialah RM7.00.
Cara mengiranya begini, 2.60 X 2.7 = 7.02. Maka digenapkan kadar itu menjadi RM7.00. Kadar purata ini dikira munasabah bagi rakyat Selangor yang berpendapatan sederhana.
Cuma di kesempatan ini saya ingin bertanya kepada semua rakyat Malaysia, berapa ramai yang menyedari cara kiraan ini. Mengikut kajian saya, ramai yang tidak tahu. Dan mereka boleh membayar mengikut apa yang ditetapkan oleh kerajaan. Tidak mengapa, yang penting kita perlu membayar mengikut kadar yang tepat.
Tetapi tahukah anda bahawa kita seharusnya perlu membayar zakat fitrah mengikut kadar beras yang kita makan setiap hari. Sekali lagi soalan ini apabila ditanyakan kepada mereka, katanya, “kami tidak tahu”. Ya, betul kita membayar zakat fitrah mengikut kadar harga beras di negeri tersebut, tetapi jenis beras yang kita makan tentu tidak sama harganya. Sedangkan kadar yang ditetapkan oleh majlis itu hanya berdasarkan lazimnya rakyat awam di Selangor makan. Apa halnya dengan orang kaya yang harga berasnya lebih daripada RM3.00?
Jadi, sempurna atau tidak zakat fitrah kita yang dibayar RM7.00 sedangkan kita makan beras yang bernilai RM2.80, RM3.00 atau lebih? Mari kita kira kadar sebenar, 2.80 X 2.7 = 7.56, 3.00 X 2.7 = 8.10, kalau itulah yang sepatutnya kita perlu bayar maka kita sebenarnya telah terhutang sebanyak 56 sen atau RM1.10. Bayangkan berapa banyak umat Islam yang tidak sempurna zakatnya.
Saya tidak katakan zakat mereka tidak sah, tetapi tidak sempurna kerana masih terhutang. Semoga Allah ampun dosa yang lalu dengan taubat kita pada hari ini. Tetapi untuk tahun ini saya mengajak umat Islam secara jujur mengira kadar zakat sendiri. Oleh sebab itu anda perlu terus membayar kepada amil zakat pada kadar yang ditetapkan, tetapi baki daripada kadar itu bolehlah diberikan kepada asnaf yang lain secara sendiri.
Terdapat lapan asnaf yang boleh menerima zakat fitrah iaitu; fakir, miskin, amil yang mengurus soal zakat, muallaf, orang yang berhutang (dalam proses membayarnya), orang bermusafir, hamba yang dalam proses tebusan, dan yang berjuang fi sabilillah. Jadi, mana-mana dalam kalangan lapan jenis orang ini bolehlah diberikan kadar yang baki itu.
Semoga zakat fitrah anda semua pada tahun ini sempurna dan diberi ganjaran keberkatan. Nantinya, Idulfitri yang disambut akan lebih bermakna.
Artikel : Ustaz Ahmad Baei Jaafar
No comments:
Post a Comment