Sunday, June 17, 2012

ISRA' DAN MI'RAJ NABI MUHAMMAD S.A.W





ISRA' ertinya ialah Perjalanan Nabi Muhammad s.a.w pada suatu malam dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsha di Pelestin dalam waktu yang sebentar.

Firman Allah surah Al-Israa' ayat 1.

Yang bermaksud : Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah dialah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

MI'RAJ ertinya Perjalanan Nabi Muhammad s.a.w naik dari alam bawah (bumi) ke alam atas (langit) sampai ke tujuh langit dan selanjutnya sampai ke Sidratul Muntaha, yakni dari Masjidil Aqsha di Palestin (Syam) naik ke atas melalui beberapa lapis yang bertingkat, terus menuju Baitul Ma'mur dan ke Sidratul Muntaha, ke 'ARASY untuk menerima wahyu Allah yang mengandungI perintah solat lima waktu sehari semalam.


Firman Allah surah Al-Israa' ayat 44.

Yang bermaksud : Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.

Peristiwa ini menurut Jumhur Ulama terjadi pada tanggal 27 Rejab tahun ke 10 sebelum hijrah, yakni setahun sebelum Nabi Muhammad s.a.w hijrah ke Madinah.

Hadis Rasulullah s.a.w . Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya : Rasulullah s.a.w bersabda : 


"Aku benar-benar pasti diriku berada di dalam Hijir, pada ketika itu orang-orang Quraisy sibuk bertanya tentang perjalananku dalam peristiwa Isra' itu. Mereka bertanya aku berbagai perkara mengenai Baitulmuqaddis yang kurang jelas pada ingatanku. Aku amat dukacita kerana aku belum pernah mengalaminya sebelum ini. Lalu Allah memperlihatkan kepadaku dari jauh sehingga aku mampu melihatnya. Walau bagaimana sekalipun bentuk pertanyaan yang diajukan kepadaku, aku tetap dapat menceritakan kepada mereka dengan jelas. Aku benar-benar pasti bahawa diriku berada dalam sekumpulan para nabi, aku melihat Nabi Musa a.s sedang berdiri mengerjakan sembahyang, memangnya dia seorang lelaki berbadan tinggi, kurus serta berambut kerinting, seakan-akan seorang lelaki dari Kaum Syanu'ah. Aku juga melihat Nabi Isa bin Mariam a.s yang sedang berdiri mengerjakan sembahyang, manakala orang yang paling mirip dengannya ialah Urwah bin Mas'ud As-Saqafi. Selain dari itu aku juga melihat Nabi Ibrahim a.s yang sedang berdiri mengerjakan sembahyang. Manakala Orang yang amat menyerupainya adalah Sahabat kamu semua, maksudnya: Diri baginda sendiri. Ketika masuk waktu sembahyang, aku mengimami mereka, setelah selesai dari sembahyang ada suara memanggilku: Wahai Muhammad! Ini adalah Malik penjaga Neraka, ucapkanlah salam kepadanya! Lalu aku menoleh kepadanya, ternyata dia lebih dahulu mengucapkan salam kepadaku".

RIWAYAT ISRAK DAN MI'RAJ

Nabi Muhammad s.a.w sewaktu akan di Isra'kan oleh Allah s.w.t, Beliau sedang tidur di Hijir Ismail dekat Ka'abah, bersama-sama bapa saudaranya Hamzah dan Ja'afar bin Abi Thalib. Dalam riwayat lain dinyatakan bahawa baginda waktu itu sedang tidur di rumah Ummi Hani binti Abi Thalib dan ketika itu datang malaikat Jibril dan Mikail serta malaikat lainnya. Kemudian para malaikat itu membawa Nabi Muhammad s.a.w ke Sumur Zamzam, untuk di belah dadanya dan dikeluarkan hatinya, lalu hatinya itu di cuci dengan air Zamzam. Setelah bersih lalu di masukkan kembali dengan di penuhi : ilmu, iman, hikmah dan kesabaran. Sesudah itu baru dada baginda di tangkupkan kembali. Walaupun pada hakikatnya kita tahu Nabi Muhammad s.a.w, seorang yang sudah cukup sempurna dari segala segi, baginda seorang yang penuh dengan ilmu, kesabaran dan kuat Imannya serta menjadi contoh dan kebanggaan Islam, tetapi oleh kerana baginda akan melaksanakan tugas ketempat yang luar biasa, maka di tambah dengan bermacam-macam kesempurnaan dari Allah S.W.T. Setelah selesai, Nabi Muhammad s.a.w menjalani operasi pembersihan jiwa, yakni di isi dengan Ilmu, Iman, Hikmat dll. Kemudian malaikat Jibril mempersilakan baginda menaiki kenderaan yang telah tersedia yang di beri nama BURAQ.

Hadis Rasulullah s.a.w. Diriwayatkan daripada Malik bin Sokso'ah r.a katanya : 
Rasulullah s.a.w bersabda :

"Ketika aku berada di tepi Baitullah dalam keadaan separuh tidur, tiba-tiba aku mendengar percakapan salah seorang dari tiga lelaki iaitu yang berada di tengah-tengah. Lalu mereka menghampiri aku dan membawa aku ke suatu tempat. Kemudian mereka membawa sebuah bekas daripada emas yang berisi air Zamzam. Setelah itu dadaku dibedah hinggalah ke sini dan ke sini". Qatadah berkata : "aku telah bertanya kepada orang yang bersamaku: Apakah yang baginda maksudkan?" mereka  menjawab: "Hingga ke bawah perut baginda". 

Baginda terus bersabda lagi : 

"Hatiku telah dikeluarkan dan dibersihkan dengan air Zamzam, kemudian mereka meletakkannya kembali di tampat asal. Setelah itu diisi pula dengan iman dan hikmah, lalu dibawa pula kepadaku seekor binatang tunggangan berwarna putih yang dikenali sebagai Buraq, ia lebih besar dari kaldai dan lebih kecil dari baghal. Ia mengatur langkahnya sejauh mata memandang, sementara itu aku dibawa di atas belakangnya. Kemudian kami pun memulakan perjalanan hingga sampai ke langit dunia, setelah itu Jibril a.s meminta agar dibukakan pintunya, lalu ditanya: Siapa? Jawabnya: Jibril. Kemudian ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Lalu Jibril menjawab: Muhammad s.a.w. Lalu ditanya lagi: Adakah dia orang yang telah diutuskan? Jawabnya: Ya. Sejurus kemudian malaikat yang menjaga pintu tersebut membuka pintu sambil berkata: Selamat datang, sesungguhnya tetamu utama telah tiba. Lalu kami mengunjungi Nabi Adam a.s". Hadis ini menceritakan kisah yang berlaku pada ketika itu. Seterusnya diceritakan, bahawa Rasulullah s.a.w bertemu dengan Nabi Isa a.s dan Nabi Yahya a.s di langit kedua, manakala di langit ketiga pula baginda berjumpa dengan Nabi Yusuf a.s. Seterusnya di langit keempat bertemu pula dengan Nabi Idris a.s. Setelah sampai di langit kelima baginda bertemu pula dengan Nabi Harun a.s. 

Seterusnya Rasulullah s.a.w bersabda : 

"Kemudian kami meneruskan perjalanan sehingga sampai di langit keenam, lalu aku menemui Nabi Musa a.s dan memberi salam kepadanya. Musa segera menjawab: Selamat datang wahai saudara dan nabiku yang soleh. Semasa aku meningalkannya, beliau terus menangis. Lalu beliau ditanya: Apakah yang menyebabkan kamu menangis? Musa menjawab: Wahai Tuhanku! Engkau telah mengutus pemuda ini kemudian dari ku, tetapi umatnya paling ramai memasuki Syurga berbading dengan umatku. Kami meneruskan lagi perjalanan sehingga sampai di langit ketujuh, lalu aku mengunjungi Nabi Ibrahim a.s. 

Hadis ini menjelaskan bagaimana Rasulullah s.a.w menceritakan bahawa baginda melihat empat batang sungai yang keluar dari pangkalnya iaitu dua batang sungai yang jelas kelihatan dan dua batang sungai yang samar-samar. Lalu Rasulullah s.a.w bertanya : 

"Wahai Jibril! Sungai-sungai apakah ini?". Jibril menjawab: Dua batang sungai yang samar-samar itu merupakan sungai Syurga, manakala yang jelas kelihatan adalah sungai Nil dan Furat. Seterusnya aku dibawa naik ke Baitul Makmur, lalu aku bertanya: Wahai Jibril, apakah ini? Lalu Jibril menjawab: Ini adalah Baitul Makmur, setiap hari 70,000 Malaikat akan memasukinya. Setelah mereka keluar, mereka tidak akan memasukinya lagi kerana itu merupakan kali yang terakhir mereka memasukinya. Kemudian dibawa pula kepadaku dua bekas yang satunya berisi arak dan satu lagi berisi susu. Kedua-duanya dihulurkan kepadaku lalu aku memilih susu. Maka dikatakan kepadaku: Kamu membuat pilihan yang tepat! Allah menghendakimu dan umatmu dalam keadaan fitrah iaitu kebaikan dan keutamaan. Kemudian difardukan pula kepadaku sembahyang lima puluh waktu setiap hari kemudian diceritakan kisah seterusnya hingga ke akhir Hadis".

Hadis Rasulullah s.a.w. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda : 

"Aku telah didatangi Buraq. Iaitu seekor binatang yang berwarna putih rupanya, panjang (tinggi) lebih besar dari kaldai tetapi lebih kecil dari baghal. Ia merendahkan tubuhnya sehinggalah perut buraq tersebut mencecah bumi. Baginda bersabda lagi: Tanpa membuang masa, aku terus menungganginya, ia melangkah kakinya cepatnya sejauh penghabisan mata memandang sehinggalah sampai ke Baitulmuqaddis".


PERJALANAN NABI S.A.W DARI MEKAH KE BAITIL MAQDIS

Selanjutnya mulailah perjalanan yang amat bersejarah. Tidak lama sampai lah baginda di suatu negeri bernama Taibah. Negeri Taibah ini pada masa-masa lalu di zaman para Nabi terdahulu adalah merupakan sumber segala ilmu pengetahuan. Akhirnya orang menyebut negeri ini dengan nama Madinah yang diertikan sebagai Negeri Sumber Segala Pengetahuan. Dikota Madinah ini baginda bersama Jibril turun dan melakukan solat 2 rakaat. Selanjutnya baginda meneruskan perjalanan dan sesaat sampailah di Syajarah Musa, di tempat ini baginda 
dan Jibril melakukan solat sunat 2 raka'at. Selesai solat baginda meneruskan perjalanan yang tidak lama sampailah ke
Bukit Tusina  iaitu tempat Nabi Musa a.s menerima wahyu dari Allah s.w.t. Di tempat ini baginda turun dan melakukan solat 2 rakaat. Ini memberikan pelajaran kepada kita, bahawa apabila kita memasuki masjid, hendaklah melakukan solat sunat 2 rakaat yang dinamakan sebagai solat Tahiyyatal Masjid.

Perjalanan di teruskan dan sampailah ke Baitul-Lahmi, tempat kota kelahiran Nabi 'Isa a.s. Di Baitul-Lahmi inipun baginda turun dan melakukan solat 2 raka'at, kemudian perjalan diteruskan dan tidak lama sampailah ke Baitul Maqdis. Di Baitul Maqdis ternyata telah berkumpul para Nabi terdahulu, menantikan kedatangan baginda. Di Baitul Maqdis bersolat berjama'ah dengan para Nabi terdahulu sebagai Imam solat.

Antara peristiwa ganjil yang dihadapi oleh Rasullullah s.a.w sewaktu Isra' adalah sebagai berikut:

Di ceritakan bahawa setelah selesai bersolat, selanjutnya baginda meneruskan perjalanan, akan tetapi tiba-tiba datang jin 'Ifrit mengejar baginda dengan obor dari belakang, dengan maksud merintangi perjalanan Beliau. Lalu baginda membaca doa keselamatan perjalanan yang di ajar oleh malaikat Jibril, lalu terjerumus 'Ifrit dan terus hancur binasa, maka selamatlah baginda dari gangguan `Ifrit dan akhirnya sampai jugalah ke Masjidil Aqsha di Palestin.

Seterusnya dalam perjalanan, baginda menyaksikan dengan sekelompok manusia yang bercocok tanam dan seketika dapat di tuai (dipetik) hasilnya. baginda pun merasa hairan lalu bertanya kepada Jibril....Jibril menjawab : Mereka adalah ibarat umat tuan yang suka menginfaqkan harta bendanya untuk menegakkan kalimah Allah, mensyi'arkan keagungan Allah dan beramal soleh.
Kemudian dalam perjalanan seterusnya baginda mencium bau yang sangat menusuk hidung, baginda bertanya Jibril?.... Jibril menjawab : Ini adalah bau Masyithah (Tukang gunting di istana Fir'aun) sekeluarga yang merelakan diri mereka di campakkan ke dalam belanga yang berisi timah mendidih oleh Fir'aun lantaran keteguhan iman mereka kepada Allah dan tidak mengakui Fir'aun sebagai Tuhan. 

Selanjutnya dalam perjalanan itu baginda melihat segolongan manusia yang memukul-mukul kepalanya sendiri sehingga hancur luluh, akan tetapi sekejap kemudian kepalanya utuh dan bertaut kembali, lalu dihancurkan semula, demikianlah seterusnya. Nabi s.a.w lalu bertanya kepada Jibril?.. Jibril menjawab : Mereka adalah perumpamaan segolongan umat tuan yang suka melengah-lengah waktu solat, sampai akhirnya habis waktu yang di tentukan.

Selanjutnya dalam perjalanan baginda melihat orang-orang yang memakan kayu berduri serta batu panas yang membara dari neraka Jahannam. Lalu baginda pun bertanya kepada Jibril?..Jibril menjawab : Mereka adalah perumpamaan orang-orang yang tidak mahu mengeluarkan zakatnya. Jelas mereka termasuk orang yang menganiaya diri sendiri.

Selanjutnya dalam perjalanan Nabi s.a.w melihat segolongan manusia yang masing-masingnya menghadap dua buah mangkok, mangkok yang satu berisi daging yang sudah dimasak dan yang satunya lagi berisi daging mentah. Akan tetapi anehnya mereka lebih suka memakan daging yang mentah. Bertanya Nabi s.a.w kepada Jibril?..Jibril menjawab : Mereka adalah gambaran diantara umat yang suka berbuat zina. Mereka sebenarnya telah mempunyai isteri yang sah, akan tetapi mereka senang melepaskan nafsu syahwatnya dengan perempuan lain yakni berzina. Demikianlah juga perempuan yang melacurkan dirinya.

Selanjutnya dalam perjalanan Nabi s.a.w menyaksikan pula ada kayu yang berduri melintang di tengah jalan. Sesiapa yang melaluinya pasti akan ditarik dan dikaitnya sehingga pakaian akan koyak. Nabi s.a.w bertanya kepada Jibril?...Dijawab oleh Jibril : Itulah suatu perumpamaan dari golongan umat yang suka membuat kekacauan dan suka duduk ditepi-tepi jalan, sehingga menggangu orang-orang yang melewati jalan itu.

Selanjutnya Nabi s.a.w menyaksikan orang-orang yang berenang dalam sungai darah, lalu mereka di lempari dengan batu, akan tetapi kemudian batu-batu itu mereka makan. Nabi s.a.w bertanya kepada Jibril?..Dijawab oleh Jibril : Mereka perumpamaan segolongan manusia yang suka memakan riba dan duit haram.

Tidak lama kemudian Nabi s.a.w menyaksikan seorang lelaki yang memikul beban (kayu), tetapi tidak kuat berjalan, anehnya beban itu semakin bertambah dan begitulah seterusnya sehingga orang itu kepayahan dan terseksa. Nabi s.a.w bertanya kepada Jibril?..Jawab Jibril : Dialah gambaran orang yang diberikan
 amanah tetapi tidak mau menunaikan (menyampaikannya) kepada yang berhak.

Selanjutnya dalam perjalanan itu Nabi menyaksikan orang-orang yang memotong lidah dan bibirnya dengan gunting besi, seketika itu bercantum kembali, namun segera pula di gunting lagi, begitulah seterusnya, sehingga mereka merasa penderitaan yang amat berat. Nabi s.a.w. bertanya kepada Jibril?..Jibril menjawab : Mereka adalah perumpamaan dari golongan manusia yang suka memberi nasihat kepada orang lain untuk membuat baik, tetapi ia sendiri tidak pernah melakukan kebaikan seperti yang di nasihatkan kepada orang lain.

Selanjutnya Nabi s.a.w menyaksikan manusia yang sedang mencakar-cakar wajah dan dadanya dengan kukunya sendiri yang telah berubah menjadi kuku tembaga. Nabi s.a.w bertanya kepada Jibril? Lalu Jibril menawab : Mereka adalah perumpamaan orang-orang yang suka menceritakan keaiban (keburukan), rahsia, kecacatan dan kejelekan orang lain, dengan membesar-besarkannya kepada orang lain.

Selanjutnya Nabi s.a.w  menyaksikan sekelompok manusia yang mempunyai bibir seperti unta, lalu disuapkan bara kedalam mulutnya. Ini adalah contoh bagi mereka yang memakan harta anak yatim dengan jalan salah.

Selanjutnya Nabi s.a.w menyaksikan saekor lembu besar keluar dari lubang yang sangat sempit lalu ia berusaha untuk memasukinya kembali tetapi tidak berjaya. Itu adalah contoh bagi mereka yang gemar bercakap besar dan berdusta, lalu ia ingin menarik kembali percakapannya itu tetapi tidak berpeluang lagi.


Menyaksikan sekelompok wanita yang di gantung buah dadanya sambil mereka menjerit-jerit meminta pertolongan. Ini adalah gambaran wanita yang menyusukan anak mereka hasil dari berzina dengan lelaki yang bukan suaminya.

Menyaksikan sekelompok wanita yang di gantung rambutnya diatas api neraka sehingga mendidih otak di kepalanya. Ini adalah gambaran balasan kerana mereka tidak mahu menutup aurat di kepala dari di pandang lelaki yang bukan mahramnya.

Menyaksikan sekelompok wanita yang digantung lidahnya diatas api neraka lalu dituangkan air panas yang menggelegak ke dalam mulutnya. Ini adalah gambaran balasan kerana mereka selalu menyakiti hati suaminya dan bercakap dengan suara yang kasar serta tinggi.

Itulah sebahagian riwayat-riwayat yang sering kita temui dalam kitab-kitab kisah Isra' Mi'raj yang meskipun oleh para Ilmuan Islam dikatakan bersumber dari keterangan yang lemah, namun yang jelas isinya merupakan peringatan untuk kita berhati-hati di dalam menjalani kehidupan di dunia.

PERJALANAN NABI S.A.W DARI MASJIDIL AQSHA KE SIDRATIL MUNTAHA

Selanjutnya mari kita telusi perjalanan Nabi Nuhammad s.a.w dari Masjidil Aqsha ke Sidratil Mustaha, yakni Mi'raj. Sebagaimana telah di terangkan dalam huraian di atas, bahawa Nabi telah bersolat berjama'ah bersama Nabi-nabi dan Nabi s.a.w diberi penghormatan sebagai Iman. Setelah selesai solat bersama para Nabi, baginda keluar dari Masjidil Aqsha, kemudian Nabi s.a.w. berkata kepada Jibril : "Wahai Jibril aku merasa haus". Jibril telah menyediakan dua buah gelas, satu berisi arak dan yang satu lagi berisi susu. Lalu Nabi pun memilih gelas berisi susu dan meminumnya. Jibril pun berkata : Andai tuan memilih arak, maka nescaya akan sesatlah umatmu.

Selanjutnya malaikat Jibril menyediakan tangga Mi'raj yang diambil dari syurga. Tangga Mi'raj itu di perbuat daripada emas dan perak bertahta mutiara. Melalui tangga inilah dengan berkendaraan Buraq Nabi s.a.w, bersama malaikat Jibril lalu naik ke langit pertama yaitu langit dunia.

Ketika Jibril a.s meminta agar dibukakan pintu, kedengaran suara bertanya: Siapakah engkau? Dijawabnya : Jibril. Jibril a.s ditanya lagi : Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab : Nabi Muhammad s.a.w. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah Nabi Muhammad s.a.w telah diutuskan? Jibril a.s menjawab : Ya, dia telah diutuskan. Kemudian pintu langit pun dibuka, Nabi Muhammad s.a.w bersama Jibril segera masuk ke langit pertama.

DI LANGIT PERTAMA

Di sini Nabi Muhammad s.a.w bertemu dengan Nabi Adam a.s, bapa kepada seluruh umat manusia. Ketika Nabi Muhammad s.a.w bertemu dengan Nabi Adam a.s, baginda disambut serta Nabi Adam a.s, mendoakannya dengan doa kebaikan. Pertemuan Nabi Muhammad s.a.w dengan Nabi Adam a.s, di langit pertama ini sebenarnya merupakan suatu iktibar, apabila kita berniat akan memulakan perkerjaan atau perjalanan, hendaklah terlebih dahulu kita datang kepada orang tua, yakni ayah dan ibu kita untuk memohon doa restu keduanya agar perkerjaan dan perjalanan itu memperolehi kejayaan dan keberkatan serta mendapat keselamatan. Kemudian perjalanan di teruskan, naiklah Nabi s.a.w bersama Jibril  ke langit kedua.

DI LANGIT KEDUA

Dengan iringan penghormatan serta sambutan yang baik dari penjaga langit kedua, masuklah Nabi Muhammad s.a.w, bersama Jibril. Di langit yang kedua Nabi Muhammad s.a.w bertemu dengan Nabi 'Isa a.s dan Nabi Yahya a.s. Kedua-dua nabi ini kemudian memberikan doa restunya untuk keselamatan Nabi Muhammad s.a.w. Kemudian naiklah Nabi Muhammad s.a.w bersama Jibril ke langit yang ke tiga.

DI LANGIT KETIGA

Sebagaimana di langit pertama dan kedua, begitu juga sampai didepan langit ketiga. Setelah selesai terjawab semua pertanyaan, di bukalah pintunya di sertai penghormatan oleh penjaga langit itu kepada Nabi Muhammad s.a.w. Di langit yang ketiga, Nabi Muhammad s.a.w bertemu dengan Nabi Yusuf a.s, yaitu seorang hamba Allah yang dikurniakan kecantikan paras wajahnya. Pertemuan antara Nabi Muhammad s.a.w, dengan Nabi Yusuf a.s, di langit yang ketiga ini tidak ubahnya seperti pertemuan dua saudara. Selanjutnya Nabi s.a.w bersama Jibril naik ke langit yang ke empat.

DI LANGIT KEEMPAT

Di sini Nabi Muhammad s.a.w bertemu dengan Nabi Idris a.s yang telah memperolehi kurnia tempat yang tinggi disisi Allah s.w.t. Pertemuan ini pun tak ubahnya seperti pertemuan dua orang saudara yang telah lama berpisah. Perjalananpun di teruskan, Nabi Muhammad s.a.w bersama Jibril terus naik ke langit yang ke lima.

DI LANGIT KELIMA

Dengan iringan penghormatan serta sambutan yang baik dari penjaga langit kelima, masuklah Nabi Muhammad s.a.w, bersama Jibril. Di langit yang kelima, Nabi Muhammad s.a.w bertemu dengan Nabi Harun a.s. dengan penuh penghormatan. Pertemuan inipun tidak ubah seperti pertemuan dua orang saudara, penuh mesra dan saling hormat menghormati. Seterusnya Nabi s.a.w bersama Jibril naik ke langit yang ke enam.

DI LANGIT KE ENAM

Di langit ke enam ini Nabi s.a.w bertemu dengan Nabi Musa a.s. Disini Nabi Muhammad s.a.w menyaksikan suatu keanehan, sebab tiba-tiba saja Nabi Musa a.s menangis tersedu-sedu. Apabila di ajukan pertanyaan kepadanya..Musa a.s menjawab : Kerana aku tidak menyangka ada seorang Nabi yang di utus Allah sesudahku, ummatnya akan lebih banyak yang masuk syurga dari ummatku. Kemudian perjalanan di teruskan ke langit ketujuh.

Hadis Rasulullah s.a.w. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah menceritakan tentang perjalanan Israknya. Baginda bersabda : "Nabi Musa a.s berkulit sawo matang dan tinggi seperti seorang lelaki dari Kabilah Syanu'ah. Manakala Nabi Isa a.s pula berbadan gempal, tingginya sederhana". Selain dari itu baginda juga menceritakan tentang Malik penjaga Neraka Jahanam dan Dajjal

DI LANGIT KE TUJUH

Di sini Nabi Muhammad s.a.w bertemu dengan Nabi Ibrahim a.s, disaat itu Nabi Ibrahim sedang bersandar di Baitul Ma'mur. Nabi s.a.w di sambut dengan baik, penuh penghormatan seperti menyambut anak sendiri. Nabi Ibrahim a.s sempat memberikan nasihat kepada Nabi Muhammad s.a.w . sebagai berikut : "Wahai Muhammad, aku nasihatkan agar kamu menyuruh ummatmu untuk memperbanyakkan tanaman syurga". Nabi s.a.w bertanya : "Apa-kah yang tuan maksud dengan tanaman syurga itu?". Jawab Nabi Ibrahima a.s. Tanaman syurga ialah ucapan kalimah : LAA HAULA WALAA QUWWATA ILLAA BILLAAHIL 'ALIYYIL 'ADZIIMatau ucapan SUBHAANALLAAHI WAL HAMDULILLAAHI WALAA ILAAHA ILLALLAAHU HUWALLAAHU AKBAR.

Perlu diketahui bahawasanya Baitul Ma'mur adalah masjid para Malaikat yang setiap harinya tidak kurang dari 70,000 malaikat masukinya dan apabila telah keluar, tidaklah mereka mengulanginya lagi.

Tidak lama kemudian Jibril menghidangkan tiga buah gelas, masing-masing berisi arak, air susu dan madu, supaya Nabi s.a.w memilihnya manakah yang lebih disukainya. Beliaupun memilih air susu, lalu di minumnya. Berkatalah Jibril: Benarlah kamu ya Muhammad. Itulah lambang kesucian kamu. Demikian malaikat Jibril mengatakan.

DI SIDRATIL MUNTAHA

Di Sidratil Muntaha ini Nabi Muhammad s.a.w menyaksikan keindahan panorama yang tiada bandingannya dan tidak terdapat di tempat manapun apa lagi di dunia ini. Dalam satu kesempatan di Sidratul Mutaha, Nabi Muhammad s.a.w sempat melihat, rupa Malaikat Jibril yang asli. Di sebut dalam satu hadis yang di riwayat Bukhari dan Muslim bahawasanya Jibril mempunyai enam ratus sayap. Selanjutnya Nabi Muhammad s.a.w di ajak oleh Malaikat Jibril menyaksikan keindahan bengawan Al-Kautsar,sampai ke depan pintu gerbang syurga kemudian baginda masuk ke syurga, di dalam syurga baginda menyaksikan hal-hal yang menghairankan, yang tidak pernah baginda saksikan sebelum ini, juga mendengar suara-suara yang belum pernah baginda mendengarnya, bahkan apa saja yang menjadi kehendak hati seketika wujud. Kesemuanya itu disaksikan oleh Nabi s.a.w di dalam syurga, bahkan Beliau sempat membaca tulisan yang terpampang di pintu syurga sebagai berikut, yang membawa maksud :

SEDEKAH MEMPEROLEH PAHALA SEPULUH KALI LIPAT DAN MENGHUTANGI MEMPEROLEHI PAHALA DELAPAN BELAS KALI LIPAT.

Bertanyalah Nabi s.a.w kepada Jibril : "Mengapakah pahala orang yang memberi hutang lebih besar dari pada pahala orang bersedekah?". Jibril menjawab : Benar, sebab orang yang di beri sedekah terkadang masih mempunyai persediaan hidup, sedangkan orang yang berhutang sudah tentu dia sangat memerlukan, yakni tidak mempunyai persediaan, sedangkan ia tidak sudi berbuat meminta-minta. Untuk kesempurnaan pengetahuan Nabi s.a.w, dibawa melihat keadaan neraka, di sana baginda meyaksikan bermacam-macam penyiksaan. Setelah menyaksikan keadaan syurga dan neraka, kemudian Nabi s.a.w meneruskan perjalanan naik ke Sidratul Muntaha sendirian tampa ditemani oleh Malaikat Jibril, lantaran Jibril merasa berat untuk melangkah lebih tinggi lagi. Di Sidratul Muntaha baginda mendengar suara goresan pena penulis, yaitu kalam yang menulis hukum-hukum Allah di Lauhul-Mahfuz.

Seterusnya Nabi Muhammad s.a.w diangkat naik setingkat lagi sampai ke 'Arasy. Disinilah Nabi s.a.w menerima perintah solat yang wajib di laksanakan oleh Nabi s.a.w dan sekalian umatnya sebanyak 50 kali sehari semalam. Dan akhirnya hanya tinggal 5 waktu sehari semalam setelah dinasihati oleh Nabi Musa a.s dan diperkenankan oleh Allah.

Juga di 'Arasy, Nabi Muhammad s.a.w menerima beberapa khushushiyyah yang belum pernah diberikan kepada para Nabi terdahulu. Mengenai beberapa khushushiyyah, yang disebut antara lain sebagi berikut :

Nabi s.a.w diberi oleh Allah : Surah Al-Fatihah dan akhir Surah Al-Baqarah dari ayat AAMANAR RASUULU sampai kepada firmanNya : FAN SHURNAA 'ALAL-QAUMIL KAAFIRIINA.

Allah berfirman dalam surah Al-Fatihah yang bermaksud : 

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 285 & 286. Yang bermaksud : 

Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata) : "Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya". Mereka berkata lagi : Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali". Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".

Nabi s.a.w menerima Ilmu tentang :

1. Islam 
2. Hijrah  
3. Jihad  
4. Sedekah
5. Puasa di Bulan Rammadhan 
6. Amal Ma'ruf 
7. Nahi Mungkar 
8. Solat
    

Nabi Muhammad s.a.w memperolehi darjat yang tertinggi, iaitu Asma Allah di sebutkan bersamaan dengan nama Muhammad ( LAA-ILAAHA ILLALLAAHU, MUHAMMADUR-RASUULULLAAH ) di dalam azan, tasyahhud dan lain-lainnya

* Nabi Muhammad s.a.w juga menerima sebutan (gelar).... HABIBULLAH dan SAYYIDUL AWWALIINA WAL AKHIRIINA .

Setelah Nabi Muhammad s.a.w melakukan tugas perjalanan Isra' dan Mi'raj, dengan membawa perintah solat lima waktu sehari semalam, maka baginda turun sampai ke Masjidil Haram di Mekah. 
baginda datang di Mekah sebelum subuh. Keesokan harinya Beliau menceritakan peristiwa Isra' dan Mi'raj yang dialaminya semalam kepada Abu Jahal dan segenap kaumnya. Kaum Quraisy amat gembira mendengar cerita Nabi s.a.w ini, kerana menjadikan bukti yang jelas, akan kedustaan dan kepalsuan seruan Nabi Muhammad s.a.w. Cerita ini yang menurut mereka amat berlebih-lebihan dan melampaui batas ini akan menjadi sebab yang dapat menjauhkan orang dari Nabi Muhammad s.a.w. dan orang yang masih ragu-ragu akan segera meninggalkan Nabi s.a.w dan tidak akan memikirkan lagi untuk mengikuti dan menerima agamanya. Dugaan kaum Quraisy meleset, hal ini ternyata, utusan yang dikirim kaum Quraisy kepada Abu Bakar As-Shiddiq menyampaikan pertanyaan : "Abu Bakar, dapatkah engkau mempercayai dan membenarkan Muhammad yang mengatakan dia baru saja pergi ke Baitul Maqdis dan dari sana ia terus naik ke langgit yg ke tujuh, lalu pada malam itu juga ia kembali ke Mekah?..Pertanyaan ini dijawab oleh Abu Bakar dengan tegas. Kalau memang beliau menyatakan demikian, benarlah ia dan pun percaya.

Utusan Quraisy mengulangi pertanyaan: Apakah engkau membenarkan hai Abu Bakar?. Dengan tegas Abu Bakar menjawab : Aku membenarkan dan aku yakin dan percaya. Dengan jawapan Abu bakar yang demikian mereka kecewa dan memfitnah Nabi Muhammad s.a.w dan menuduhnya sebagai seorang pendusta, gila dan sebagainya. Dengan yang demikian kita dapat memgambil kesempulan, bahawa sejak dahulu hingga kini kaum muslimin telah yakin dan percaya serta beriman terhadap peristiwa Isra' dan Mi'raj. Sebagai penutup da akhir kata : marilah kita berdoa semoga Allah s.w.t selalu berkati, melindungi kita dan mudah-mudahan kita senantiasa di bawah naungan keredhaan Nya.

AMBILLAH IKTIBAR DARI PERISTIWA iSRA' & MI'RAJ NABI MUHAMMAD SAW. INI, SEBAGAI PEDOMAN HIDUP KITA. INSYAALLAH.

- Serambi Awam -

No comments:

Post a Comment