Saturday, April 14, 2012

Pensejarahan semula perjuangan kemerdekaan: Satu tuntutan keadilan

Tanggal 31 Ogos 1957 adalah tarikh kemerdekaan negara kita sebagaimana yang tercatat dalam buku-buku sejarah. Detik bersejarah ini telah dimulakan dengan penurunan bendera Union Jack (bendera British) di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur tepat pukul 12 malam.

Keesokan harinya barulah diisytiharkan Merdekanya Tanah Melayu dari penjajah British dengan laungan Merdeka! oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka.
Namun demikian, beberapa persoalan timbul disebalik fakta sejarah kemerdekaan negara kita yang sedia ada iaitu: Adakah Umno dan Perikatan (Umno, MCA dan MIC) sahaja dari mula hingga akhir yang memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu?


Sejarah acuan pemerintah

Apakah buku-buku sejarah yang ditulis pada hari ini berasaskan kepada fakta sebenar ataupun berasaskan kepada acuan pemerintah? Benarkah hanya Dato Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan pemimpin-pemimpin Umno sahaja yang bersungguh terlibat memerdekakan negara kita?

Bagaimana pula peranan yang dimainkan oleh Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam dan ramai lagi berserta dengan pertubuhan-pertubuhan pimpinan mereka Hizbul Muslimin, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) untuk memerdekakan negara kita?

Kepentingan Penulisan Pensejarahan Semula Perjuangan Kemerdekaan

Adalah diakui bahawa tajuk ini sememangnya penuh kontroversi dan menjadi pertikaian sejak sekian lamanya. Penelitian kembali dari perspektif kajian Sains Politik dan Sejarah adalah mustahak bagi membolehkan usaha-usaha untuk mengembalikan keadilan dan kebenaran dalam penulisan pensejarahan fakta perjuangan kemerdekaan negara ini, mampu dilaksanakan oleh pengemblengan semua pihak yang cintakan kebenaran dan keadilan.

Penulisan pensejarahan semula perjuangan kemerdekaan adalah wajar, dhoruri dan satu kemestian kerana, untuk:
i. Memberikan kefahaman yang jelas dan benar tentang kemerdekaan
ii. Menjamin sejarah sebenar perjuangan kemerdekaan tidak terus diselindung,
iii. Memastikan generasi muda dan rakyat seluruhnya tidak terkeliru
iv. Mengembalikan semula keadilan dan kebenaran

I. Memberikan kefahaman yang jelas dan benar tentang kemerdekaan

Menekuni aspek sejarah dan faktanya secara menyeluruh dalam membicarakan sejarah perjuangan kemerdekaan negara ini amat penting. Ini untuk memastikan kefahaman kita berkaitan dengan kemerdekaan dan sejarah perjuangannya difahami dengan jelas, telus, adil, rasional dan tanpa pertimbangan yang salah dan berat sebelah.

Ia amat perlu kerana penulisan pensejarahan kemerdekaan negara sejak 48 tahun yang lalu tidak transparen dan adil dalam penyampaiannya pada umum.

Sejarah Awal Perjuangan Kemerdekaan

Kemerdekaan Tanah Melayu diperoleh dari Inggeris pada tanggal 31 Ogos 1957. Dalam sejarah perjuangan kemerdekaan negara dan kebebasan bangsa kita, memang banyak golongan telah memberikan pelbagai sumbangan dan pengorbanan-tenaga dan nyawa.

Ketika Portugis menyerang Melaka, Bendahara Paduka Raja muncul sebagai pemimpin yang menentang serangan itu. Lebih tiga abad kemudian, penjajah Inggeris cuba menakluki negeri-negeri Melayu, timbul pula pembesar-pembesar Melayu terkenal: Datuk Maharajalela di Perak, Datuk Bahaman di Pahang, Tok Janggut di Kelantan dan ramai lagi yang bangkit melawan kuasa penjajah.

Dalam perjuangan menentang penjajah untuk mempertahan kedaulatan bangsa ini, dapat dilihat dua tradisi yang jelas. Pertama, tradisi melawan atau menentang penjajah habis-habisan. Kedua, tradisi bekerjasama atau bersubahat dengan penjajah.

Mereka yang menentang ada yang dibunuh, diburu, dibuang negeri dan dilucut kedudukan mereka. Yang menang pula kemudian diupah dengan pangkat, martabat dan kekayaan. (Dr. Syed Husin Ali "Hormati semua pejuang kemerdekaan"

Selepas penjajah menakluki negara dan rakyat, maka timbullah golongan yang berjuang untuk menentang penjajahan dan menegakkan kemerdekaan. Sejarah membuktikan golongan yan mula-mula bangkit untuk menuntut kemerdekaan terdiri daripada tokoh-tokoh atau pertubuhan-pertubuhan yang dicop oleh penjajah sebagai radikal dan kiri.

Pejuang kemerdekaan sebenar

Antaranya ialah Ibrahim Yaakub, Ishak Hj Muhammad, Shamsiah Fakeh, Dr. Buhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam dan Abu Bakar Baqir. Mereka memimpin pertubuhan-pertubuhan yang dikenali sebagai Kesatuan Melayu Muda (KMM), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Hizbul Muslimin (Ini adalah kumpulan pejuang
kemerdekaan dalam golongan tradisi pertama).

Oleh kerana sikap tokoh-tokoh dan pertubuhan-pertubuhan kiri ini tidak mahu bekerjasama dengan pihak penjajah malah, mereka yang menentang penjajah habis-habisan, maka mereka ditekan, ditangkap dan dipenjara bertahun-tahun.

Berikutan pengisytiharan darurat pada 20 Jun 1948 (British telah mengharamkan parti-parti politik yang keras menentang mereka) ruang telah terbuka luas kepada UMNO, MCA dan MIC di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman , Tun Abdul Razak, Tun Tan Cheng Lock dan Tun S. Sambanthan melanjutkan tuntutan kemerdekaan.

Pihak Inggeris merasa lebih senang dan selamat untuk menyerahkan kemerdekaan kepada Perikatan (UMNO, MCA dan MIC) kerana mereka sanggup bekerjasama, berkompromi dan menjaga kepentingan ekonomi penjajah.(Ini adalah kumpulan pejuang kemerdekaan dalam golongan tradisi kedua).
Begitu juga sejarah tidak boleh menafikan hakikat bahawa Parti Komunis Malaya (PKM) juga berperanan dalam menuntut kemerdekaan sejak mula ia ditubuhkan (Mei 1930 di Kuala Pilah Negeri Sembilan; merupakan parti politik pertama di Tanah Melayu yang sudah ada jaringan antarabangsa dengan kehadiran Ho Chi Minh dari Vietnam pada tarikh penubuhannya).

Pada zaman penjajahan Jepun, Chin Peng dan anak buahnya adalah antara kumpulan yang paling berani menentang Jepun. Adakah boleh ditolak peranan PKM menentang penjajah? Mereka ini duduk di tengah-tengah hutan, tidur berlantaikan tanah berbumbungkan langit untuk memerangi Jepun dan mencari kemerdekaan sebenar.

Wajarkah peranan mereka tidak diperakui kini? Perjuangan PKM tidak terhenti setakat menentang penjajahan Jepun, tetapi mereka juga mengangkat senjata untuk menentang penjajah British bagi menuntut kemerdekaan.

Tidak dinafikan mereka berjuang mendapatkan kemerdekaan untuk membentuk satu bentuk penjajahan baru dengan doktrin komunisme untuk menubuhkan sebuah negara komunis (yang sama sekali ditolak masyarakat Melayu dan Islam) tetapi, usahasama dan gandingan perjuangan mereka untuk membebaskan Tanah Melayu dari penjajah wajarkah dinafikan.



Penghakiman sejarah yang adil

Justeru, amat perlu untuk menekuni kesemua fakta sejarah kemerdekaan dengan mengambil kira semua peranan yang dimainkan oleh sesiapa juga; baik pemimpin ataupun rakyat biasa di semua peringkat dalam usaha memerdekan negara ini.

Ini penting demi menjamin penghakiman sejarah yang adil bagi mereka yang berjuang secara bersungguh untuk merdeka; kesungguhan perjuangan yang bukan hanya terhad di meja perundingan tapi juga sanggup berkorban nyawa demi memerdekakan tanah air dan membela maruah agama serta bangsa.

II. Menjamin sejarah sebenar perjuangan kemerdekaan tidak terus diselindung

Tegasnya, sebelum Tunku Abdul Rahman melaungkan Merdeka pada 31 Ogos 1957, laungan ini sudah bergema dan banyak babak-babak sejarah yang dimainkan bukan hanya Umno atau Perikatan.
Parti Komunis Malaya bersama parti-parti nasionalis Melayu yang diharamkan telah mengangkat senjata menentang British. Adullah CD, Rashid Maydin, Shamsiah Fakeh dan Musa Ahmad adalah antara pemimpin-pemimpin yang turut berjuang untuk kemerdekaan (Hishamuddin Rais "merdeka dan sejarahnya")
Begitu juga halnya dengan pertubuhan yang dilabel berhaluan kiri. Fakta sejarah menegaskan wujudnya parti-parti politik nasionalis Melayu mendahului Umno dalam perjuangan kemerdekaan. Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang di pimpin oleh Mokhtaruddin Lasso ditubuhkan pada 17 Oktober 1945.

Bersama parti ini ialah Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Baris Tani Se-Malaya (BATAS), Majlis Agama Tertinggi Se-Malaya (MATA) dan pada 14 Mac 1948 ditubuhkan pula Hizbul Muslimin. Ini semua adalah jaringan gerakan nasionalis Melayu yang menuntut merdeka dari British

Indoktrinasi Umno

Realitinya pada hari ini, indoktrinasi yang cuba dan sentiasa diterapkan oleh Umno khususnya dan regu kuat politiknya-MCA dan MIC bahawasanya, merekalah pelopor kepada perjuangan memerdekakan Tanah Melayu.

Buku-buku sejarah yang digunakan di sekolah, penulisan-penulisan sejarah dan politik tanah air di institut pengajian tinggi juga bahan-bahan bacaan dan tatapan umum yang berorientasikan sejarah, hebat memperkatakan kesungguhan Umno dan Perikatan dalam membawa kemerdekaan.
Merujuk kepada sejarah perjuangan kemerdekaan Malaysia hari ini, banyak fakta yang dinafikan kerajaan yang memerintah. Ini jelas apabila sejarah perjuangan para pemimpin dan pertubuhan selain Umno/Perikatan serta rakyat biasa seolah-olah tidak diiktiraf.

Ini dapat dibuktikan bilamana, penulisan pensejarahan perjuangan kemerdekaan hari ini masih melabelkan Ahmad Boestamam, Dr Burhanuddin Al-Helmy dan seangkatan dengan mereka serta pertubuhan mereka sebagai golongan radikal dan berhaluan kiri. Juga, mereka ini hanya berperanan kecil dalam usaha memerdekakan Tanah Melayu.

Ini satu ketidakadilan dalam pengungkapan sejarah, kerana fakta sejarah sebenar telah menegaskan Umno dan Perikatan hanya menyambung usaha menuntut kemerdekaan daripada British setelah pemimpin-pemimpin yang di labelkan radikal ini ditahan oleh British.

Perjuangan sebenar menuntut kemerdekaan sedari awal bukanlah dipelopori oleh Umno/Perikatan tetapi pemimpin-pemimpin dan pertubuhan-pertubuhan yang berhaluan kiri tersebut. Inilah fakta kebenaran yang dinafi dan diselindung.

III. Memastikan generasi muda dan rakyat seluruhnya tidak terkeliru

Generasi muda dan rakyat keseluruhannya telah dikeliru dan terkeliru; ditipu dan tertipu dengan fakta sebenar perjuangan kemerdekaan. Menyeleweng dan menyelindung kebenaran fakta sejarah perjuangan kemerdekaan adalah satu pengkhianatan terhadap sejarah perjuangan bangsa.
Ia mencemar perjuangan dan pengorbanan suci pejuang-pejuang terdahulu dalam membela maruah bangsa dan agama. Pengolahan dan pengungkapan fakta sejarah yang berat sebelah dalam penyataan memerdekakan Tanah Melayu beralasankan untuk mengelakkan kontroversi dan mencetuskan provokasi dalam masyarakat adalah hujah yang amat dangkal.

Ini kerana ia tidak akan membentuk kesatuan dan keharmonian dalam sambutan kemerdekaan pada setiap tahun. Generasi baru daripada salasilah keluarga tokoh-tokoh yang dilabelkan sebagai radikal dan kiri (Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir Chin Peng dll.) pada hari ini, tidak akan mengiktiraf kemerdekaan yang disambut disebabkan penafian peranan datuk-datuk mereka dalam memerdekakan Tanah Melayu dalam penulisan sejarah tanah air.

Justeru, selagi mana fakta sejarah sebenar dirahsiakan dengan menonjolkan pejuang-pejuang kemerdekaan secara selektif; dengan menyatakan perjuangan menuntut kemerdekaan hanyalah dipelopori oleh pertubuhan moderat Melayu iaitu Umno, lantas menafikan peranan para pemimpin dan pertubuhan lain, maka selagi itulah semangat meraikan kemerdekaan secara bersama tidak akan tercapai.



Sambutan bermakna

Bilamana semua warga memaklumi fakta sejarah perjuangan kemerdekaan yang sebenar dan hakikat sejarah ini diterima, barulah sambutan kemerdekaan akan lebih dirasakan maknanya. Perkongsian sejarah bukan eksklusif untuk satu kelompok yang dari sejarahnya pula kurang tepat.

Sekiranya, semua warga diberitahu kelak menerusi pensejarahan semula bahawasanya, kemerdekaan Negara ini adalah perjuangan anak semua bangsa dan Negara ini juga untuk anak semua bangsa, maka sambutan kemerdekaan ini tidak lagi memerlukan peringatan dan pengumuman kerajaan. Ini kerana ianya milik bersama dan semua anak bangsa Malaysia.

IV. Mengembalikan semula keadilan dan kebenaran

Penekunan dan penelitian kembali fakta-fakta sejarah dahulu dapat memberikan kefahaman yang mendalam pada kita untuk memahami keadaan sosio-politik hari ini. Yang terdahulu melahirkan yang terkini dan yang terkini akan menimbulkan yang akan datang. Kesatuan Melayu Muda diharamkan lebih awal dari parti-parti yang lain. KMM diharamkan oleh fasis Jepun semasa Jepun datang menjajah tanah Melayu.

Tanggal 20 Jun 1948 penjajah British telah mengisytiharkan 'darurat' di Tanah Melayu. Ini adalah akibat terdesak kerana rakyat Tanah Melayu telah bangun menentang mereka. Langkah pertama yang dilakukan British ialah mengharamkan parti-parti politik yang betul-betul menentang mereka (PKMM,API dll.)
Apa yang tinggal ialah parti-parti politik seperti Umno, MCA, MIC. Parti-parti yang tersusun rapi dan berupaya melawan British telah diharamkan. Parti-parti yang diharamkan ini tidak memainkan sentimen perkauman dan berkemungkinan menggalang kesatuan rakyat semua bangsa. Ini sebenarnya mengancam kepentingan British di Malaya.

Maka, dari latar belakang inilah munculnya United Malay National Organization (Umno) satu pertubuhan Melayu yang hingga ke hari ini masih memakai nama Inggerisnya. Dari nama pertubuhan ini sudah dapat ditelah bahawa ini adalah penggabungan badan-badan dan kumpulan-kumpulan Melayu yang akhirnya diiktiraf oleh British sebagai parti politik.

Direstui British

Umno kemudiannya bekerjasama dengan MIC dan MCA dalam Perikatan. Kumpulan politik yang bergabung di bawah Perikatan lebih diyakini dan direstui British. Para pemimpin ini juga lebih senang dan selesa untuk mengikut dasar yang diletakkan oleh British. (Hisahmuddin Rais, 'Merdeka dan sejarahnya')
Tegasnya, dalam perjuangan menentang penjajahan demi memerdekakan Tanah Melayu, kedapatan juga dua tradisi yang sama, iaitu: tradisi kerjasama serta kompromi dengan penjajah dan tradisi perlawanan serta penentangan terhadap penjajah. Penilaian dan justifikasi kita mungkin berbeza terhadap kedua-dua tradisi ini. Namun, adalah perlu untuk kita memberi pengiktirafan yang seimbang kepada tokoh-tokoh dan parti-parti penting dari kedua-dua tradisi ini.

Penutup dan kesimpulan

Adalah jelas bahawasanya sejarah perjuangan kemerdekaan pada hari ini tidak benar-benar mengungkapkan fakta pensejarahan yang tepat. Banyak fakta yang diselindung dan diseleweng khususnya bila melibatkan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan yang tidak sealiran prinsip perjuangannya dengan Umno dan Perikatan.
Seharusnya, kita memandang berat dan menghormati pandangan Tun Dr. Ismail, dengan mengikuti nasihatnya iaitu sebagaimana yang diungkapkan pada tahun 1972 : "sumbangan semua golongan, termasuk golongan kiri' mesti dihormati.' (Dr S.Husin Ali), 'Hormati semua pejuang kemerdekaan'. Sungguhpun beliau tidak menyebut satu-persatu golongan tersebut, maksudnya agak jelas.

Tiada siapa yang seharusnya menafikan peranan Tunku dan Umno untuk akhirnya mendapatkan kemerdekaan dari kerajaan Inggeris menerusi perundingan. Memang salah jika ada pihak yang mengatakan mereka tidak memberikan sumbangan sama sekali.

Tetapi sebaliknya, salah juga jika kita tidak mengiktiraf sama sekali peranan dan sumbangan oleh golongan-golongan lain, termasuk golongan ulama, bangsawan tradisional dan tokoh serta pertubuhan 'kiri' yang disebut tadi.

Pensejarahan semula perjuangan kemerdekaan Negara ini amat penting demi menjamin keadilan dan kebenaran fakta sejarah kemerdekaan keseluruhannya. Ini kerana kita tidak mahu "The victor writes history, the loser writes poetry"(Yang juara menulis sejarah, yang kalah menulis sajak).

Sumber :  Pusat Penyelidikan PAS Pusat   

- Serambi Awam -

No comments:

Post a Comment